Sembilan belas hari dalam tahun dua ribu sebelas.. Tak tahu apa takdir aku hari ini sehinggalah tepat jam lima setengah pagi aku dikejutkan dengan bunyi telefon yang menghentikan mimpi indah aku. Panggilan yang sama sekali tak aku fikir akan aku dengar.
“Kak..abah makin sesak nafas.Datang hospital cepat !”
Kata-kata itu buatkan aku terdiam dan jantung seolah-olah bagaikan nak gugur. Adakah benar apa yang aku dengar ni atau hanya sekadar mimpi? Mimpi yang hanya ingin menakut-nakutkan aku? Hampir lima minit aku terdiam diatas tempat aku terkaku setiap malam. Aku masih memikirkan adakah ini mimpi atau realiti yang harus aku lalui? Tiba-tiba aku tersedar inilah realiti dan mungkin juga akan menjadi sebahagian takdir malah sambungan cerita hidup aku untuk hari ini. Dengan pantas aku mendapatkan kakak aku yang masih lena. Kami seolah-olah kaku dengan apa yang berlaku. Demi Allah..aku belum bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Tapi takdir memang tak pernah rasa kasihan pada kita. Jika dia mahu jadi,dia akan terus jadi tanpa memikirkan sama ada aku sedia atau tidak. Dalam perjalanan aku kehospital sekali lagi telefon aku berbunyi. Yang tertera disitu nama ‘ABAH’.. Aku cuba harapkan sesuatu yang lebih baik dari kata-kata tadi. Tapi apa yang aku harapkan nyata jauh dari sangkaan.
“Kak... Abah dah tak ada ! Abah dah meninggal..”
Tak terhitung beratnya beban kata-kata tu. Rasanya mahu saja aku rebah saat tu. Takdir kadang-kala memang kejam. Susah nak berpihak pada aku! Itulah yang aku fikirkan sewaktu kata-kata tu keluar dari mulut adik aku.. Ampunkan aku Ya Allah.. Motor yang aku tunggang aku lajukan dengan sekuat hati sebab aku perlu cepat sampai ke hospital. Biarlah apa yang bakal jadi dijalan raya nanti aku tak peduli asalkan aku sampai dengan cepat!
Suasana memang suram pagi tu. Dia tahu walau ceria macam mana pun aku tak mungkin bersama keceriaan.Kami terus ke wad tiga. Bila kaki aku mula melangkah masuk ke wad tiga,bilik yang ketiga,aku dah ternampak dari jauh sekujur tubuh kaku diselimuti dengan kain putih. Itu pasti Abah! Ya! Abah aku yang terbungkam kaku disitu.. Semakin dekat jarak aku dengan tubuh kaku tu,makin longlai langkah kaki ini. Jika seluruh anggota badan ni mampu mengeluarkan kata-kata,aku pasti mereka akan kata ‘kuatlah’ kerana saat tu aku benar-benar hilang seluruh kekuatan. Saat tu hanya airmata yang mengalir deras tanpa henti. Mahu sahaja aku menjerit memanggil Abah,tapi itu hanya menyiksakan Abah.
Aku jadi benci pada sebuah takdir yang meragut semua orang-orang yang aku sayang. Kalau Mak masih ada saat tu,aku pasti boleh menaruh kekuatan pada dia. Tapi sayangnya saat tu Mak tak ada! Mak dah tunggu Abah kat sana. Pada siapa lagi aku nak menagih kekuatan selain adik beradik aku yang tinggal? Tapi mereka sendiri mencari kekuatan seperti aku. Kekuatan yang diragut tanpa belas kasihan. Jika tiada iman,mahu saja aku potong punca nyawa supaya aku boleh ikut Abah dan terus jumpa Mak disana! Tapi aku masih punya iman walaupun iman aku bukan setebal Al-quran.
Bila jenazah Abah siap dimandikan dan dikafankan, jenazah Abah dibawa kerumah nenek. Sampai rumah nenek,aku makin sayu bila lihat jenazah Abah diletakkan ditengah-tengah rumah. Terkaku seorang diri disitu dengan dikelilingi manusia yang mengasihi Abah. Membacakan surah Yassin dan Al-Fatihah untuk Abah.Belum sampai setahun jenazah Atuk diletakkan ditempat yang sama,sekarang giliran Abah pula. Hebat sungguh ujianMu Ya Allah..
Aku pandang seorang demi seorang wajah kakak dan adik-adik aku,aku cuba baca apa yang ada dalam hati dan kotak fikiran mereka,aku pasti semuanya sama macam aku! Abang aku adalah orang yang paling sedih bila dia langsung tak dapat jumpa Abah. Waktu itu dia berada di Pahang. Dia minta kami untuk tidak menunggu dia sebab dia tak mahu jenazah Abah tersiksa. Aku rasa dia adalah orang yang paling sedih waktu tu. Cuma dia tak mahu kakak ,adik-adik perempuan dan adik-adik lelaki dia semakin sedih bila nampak kesedihan dia.
Waktu aku rasakan terlalu hebat berlalu,rasanya aku tak mahu melepaskan jenazah abah! Aku belum puas menatap wajah Abah. Walaupun wajah Abah pucat,tapi tak apa! Aku nak tengok jugak! Baru 24tahun aku dengan Abah,aku belum puas lagi.. Kenapa mesti ambil Abah Ya Allah? Selesai jenazah Abah disolatkan,mereka mengusung jenazah Abah menuju ke satu-satunya tempat yang abadi untuk Abah.
Abah tak akan balik lagi. Abah akan dikambus dengan tanah yang kotor tu. Abah tak kan dapat lagi mendengar setiap kata-kata aku. Abah tak akan ada lagi saat aku ingin menceritakan setiap kegembiraan dan kedukaan. Abah tak ada saat nanti aku dimiliki. Aku ingat lagi sewaktu ada hayat Abah,dia selalu pesan pada aku jaga diri baik-baik.Abah juga selalu menyatakan kerisauan dia terhadap aku sebab aku satu-satunya anak perempuan yang masih bawah tanggungjawab dia. Abah juga takkan senang hati selagi aku belum dimiliki oleh mana-mana lelaki. Walaupun sampai saat Abah pejam mata aku masih belum dimiliki,aku harap Abah pergi dengan tenang. Tapi aku sedih sangat bila nanti sampai masa aku akan dimiliki,Abah tak ada disisi. Aku selalu beranagan-angan mahukan Abah adalah orang utama disaat aku dimiliki. Biarlah.. Allah maha mengetahui apa yang tertulis hari ini. Mungkin Allah ambil Abah dan nanti akan Dia datangkan seseorang yang baik mampu menjaga aku macam Abah.InsyaAllah.. Berat rasanya kaki ni nak meninggalkan Abah seorang diri disitu. Tapi aku harus tinggalkan juga. Itu memang tempat Abah. Satu hari nanti aku juga akan kesitu.
Tinggallah Abah seorang diri tanpa ada sesiapa meneman. Hari tu seluruh alam tahu kesedihan aku. Seluruh alam juga turut bersedih bersama aku. Nampak kuat langkah kaki aku,tapi tak siapa yang tahu aku terpaksa merangak dan mengutip semua kekuatan yang tinggal. Biarlah dengan apa cara sekalipun kekuatan yang aku dapat,aku harus terus berjalan demi sebuah kehidupan dan segala kenangan Abah yang ada.
Dan hari ini...genaplah setahun Abah terdiam dari berjuta kata-kata. Abah jauh dari dunia nyata. Abah melalui hidup yang aman disana.InsyaAllah.. Dan aku,masih lagi disini,setia mengingati,merindui kasih sayang Abah,kata-kata Abah dan gurauan Abah. Wajah abah tak akan pernah padam selagi nadi ini beraksi. Biar aku sendiri sepi disini melalui liku-liku kehidupan yang masih sama banyak onak dan duri. Aku perlu siap untuk melalui caci maki manusia sendirian tanpa Abah... Walau perit,walau pedih satu kehilangan tu,aku harus redha kerana inilah sebahagian ujian dariNya untuk kehidupan aku..
Terima kasih Ya Allah kau telah ambil Abah dengan cepat sebab kau tahu Abah akan lebih sakit lagi jika kau biarkan dia hidup lama. Kau uji aku dengan pemergian Mak dan Abah sebab kau tahu aku mampu menjadi lebih kuat walau tanpa mereka. Kau tempatkanlah Mak dan Abah dikalangan orang-orang Engkau kasihi.Engkau cucuri lah rahmat keatas roh mereka. Dan sampaikanlah rindu yang amat sarat dalam hati ini pada mereka.. Sesungguhnya semua ujian yang Engkau datangkan terselit berjuta hikmah.. Akan aku utuskan doa untuk mereka selagi Engkau berikan aku kesempatan....
4 comments:
doakanlah abah banyak2,, tu amalan yang dapat dibawe lepas pergi,, doa dari anak yang soleh solehah.. ;)
follow sini.. :)
saya pernah rasa apa yang awak rasa T__T
moga dia berada ditempat yg dirahmati..amin doa ank yg soleh akn memberi kesenangan ibubapanya diakhirat
Post a Comment